Laporan Program Bicara Penulis bersama Ahmad Fadzli Yusof – Kuasa Hijrah Kuasa untuk Berubah
Program Bicara Penulis bersama motivator, Ahmad Fadzli Yusof telah berlangsung pada 1 Jun 2008 yang lalu bertempat di Ruang Legar Jusco Bukit Raja, Klang. Objektif utama program anjuran bersama MPH Bookstores Bukit Raja dan PTS Millennia Sdn. Bhd. itu dijalankan adalah bersempena dengan Pesta Buku MPH. Program yang berorientasikan perbincangan ilmu ini telah berlangsung dengan lancar tepat jam 1 tengah hari.
Saudara Ahmad Fadzli memilih untuk memberikan hujah secara individu pada hari tersebut dengan persembahan bersahaja yang cukup menarik. Topik yang disampaikan pula berkisar mengenai buku hasil tulisan beliau bersama motivator terkenal tanah air, Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah iaitu Kuasa Hijrah Kuasa untuk Berubah.
Petang itu juga telah menyaksikan betapa bersemangatnya beliau menerangkan langkah-langkah praktikal yang harus diamalkan oleh individu untuk berubah. Langkah-langkah praktikal tersebut boleh diperolehi daripada buku Kuasa Hijrah Kuasa untuk Berubah. Antara hujah penting yang diutarakan beliau merangkumi matlamat, azam dan perancangan strategik dalam menentukan hala tuju perubahan diri.
Buku yang telah memenangi Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian 2008 itu sememangnya mantap dengan pelbagai petua berkesan dan langkah-langkah efektif untuk tatapan pembaca.
Program tamat tepat jam 2 petang apabila beliau membuat kesimpulan mengenai kuasa untuk berubah dan diakhiri dengan sesi ramah mesra dan tandatangan autograf.
Hasil Perkongsian :Siti Nor Fadilah Salleh
Editor
PTS Millennia Sdn Bhd
Email : norfadilah@pts.com.my
Web :



Leave a Reply