Laporan Pelancaran Buku “Aura Penyembuhan Reiki”
Perubatan tradisional dianggap sebagai satu kaedah alternatif kepada perubatan moden. Metod seperti bekam dan akupunktur antara yang popular aplikasinya dalam masyarakat masa kini. Reiki, mungkin tidak ramai yang mengetahui akan keberkesanan teknik ini. Apakah Reiki sebenarnya? Ia adalah kaedah penyembuhan alami menggunakan telapak tangan yang diadaptasi daripada cabang ilmu bio-energy. Menyedari kepentingan teknik dan kaedah ini, PTS Millennia Sdn. Bhd. melamar Dr. Hazil atau lebih dikenali dengan panggilan Master Hazil untuk mendokumentasikan teknik ini.
Hasilnya, buku Aura Penyembuhan Reiki karya Mir Hazil Azran Ramli berjaya diterbitkan. Bersempena dengan Majlis Graduasi Juruterapi Reiki, 28 Jun 2008 yang lalu, PTS Millennia Sdn. Bhd. dengan kerjasama InnerGy Quest Bio-Concept Sdn. Bhd. (IQBC) sudah mengadakan sesi pelancaran buku itu, bertempat di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Encik Jaafar bin Lassa, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Program bermula jam 8.00 malam dengan ketibaan tetamu kehormat, Encik Jaafar diiringi penulis, Mir Hazil Azran Ramli dan isteri, Puan Suhaila serta Pengurus Penerbitan PTS Millennia Sdn. Bhd., Encik Fauzul Na’im Ishak.
Majlis dimulakan dengan persembahan silat oleh wakil InnerGy Quest Bio Concept dan bacaan doa. Pengacara malam itu, Encik Mohd. Ikram kemudian mempersilakan wakil PTS Publications, Encik Fauzul Na’im Ishak menyampaikan ucapan.
Encik Fauzul dalam ucapannya menyatakan bahawa, dengan penerbitan bahan ilmiah ini, teknik Reiki diharap dapat berkembang di Malaysia dan masyarakat dapat memanfaatkan kaedah ini sebaiknya.
Selesai ucapan Encik Fauzul, giliran penulis pula menyampaikan ucapan beliau. Master Hazil merakamkan rasa terharunya kerana buku Reiki akhirnya berjaya diterbitkan. Ini julung-julung kalinya karya yang memuatkan teknik Reiki dibukukan dalam Bahasa Melayu oleh pengarang beragama Islam. Beliau berharap dengan penerbitan buku Aura Penyembuhan Reiki, ia dapat menjelaskan tentang kaedah perawatan Reiki kepada umum.
Encik Jaafar Lassa yang mewakili pihak Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan pengharapan dan kepentingan aktiviti dokumentasi bahan-bahan ilmiah berkaitan Perubatan Tradisional & Komplementari (PT&K). Ini adalah antara usaha yang disokong oleh pihak Kementerian dalam menyelamatkan PT&K agar ia tidak luput ditelan zaman.
Selesai ucapan, beliau kemudian menandatangani replika kulit buku Aura Penyembuhan Reiki sebagai tanda simbolik pelancaran.
Majlis disudahi dengan acara makan malam bagi meraikan graduan IQBC yang telah tamat kursus dan beberapa persembahan daripada graduan-graduan IQBC.
Hasil Perkongsian :Siti Nor Fadilah Salleh
Editor
PTS Millennia Sdn Bhd
Email : norfadilah@pts.com.my
Web :
Artikel Terbaru Dalam Kategori Berita
- Pesta Buku Malaysia@Kempen Membaca 2008 - August 2nd, 2008
- Pesta Buku Selangor 2008 - August 2nd, 2008
- Temui Penulis di MPH Local Author's Month - August 2nd, 2008
- MPH Local Author's Month - August 2nd, 2008
- Kepimpinan Gaya Nabi; Biografi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Haji Nik Mat-Satu Cabaran - July 15th, 2008



Leave a Reply